KOTA BHARU: Sebanyak 153 kes jenayah melibatkan warga asing direkodkan di Kelantan sepanjang tahun lepas, meningkat berbanding 121 kes yang direkodkan pada tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata warga Thailand mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 43 kes, diikuti Myanmar (42), Indonesia (37), Bangladesh (18), India (sembilan) dan Kemboja dan China masing-masing satu.

Bercakap pada media media selepas Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini beliau berkata kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan kes mencuri (45), pecah rumah (32) dan khianat (28).

Sementara itu Muhamad Zaki berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah memastikan tiada kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along beroperasi di negeri Kelantan, dan beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan along kerana ia hanya akan membawa kesan yang negatif sahaja.

-- BERNAMA