Skip to main content

Dunia

AS rampas lebih 300 dron sepanjang Piala Dunia FIFA 2026

51717647445_drone.jpg
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menetapkan "Zon Larangan Dron" di sekitar semua stadium, acara peminat dan kem pasukan bagi melindungi pemain serta penonton. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) merampas lebih 300 dron sejak bermulanya Piala Dunia FIFA 2026 kerana melanggar peraturan ruang udara terhad, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA).

"Marshal Udara Persekutuan TSA, dengan kerjasama rakan di peringkat negeri dan persekutuan merampas lebih 300 dron sepanjang berlangsungnya acara Piala Dunia FIFA setakat ini," menurut agensi itu menerusi platform media sosial X pada Selasa.

Agensi itu memberi amaran, menerbangkan dron di zon larangan adalah satu kesalahan persekutuan yang boleh mengakibatkan hukuman penjara, rampasan dron dan denda sehingga AS$100,000.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menetapkan "Zon Larangan Dron" di sekitar semua stadium, acara peminat dan kem pasukan bagi melindungi pemain serta penonton.

Pada hari perlawanan, semua operasi pesawat tanpa kebenaran dilarang dalam radius 5.5 kilometer dan sehingga ketinggian 914 meter dari aras tanah di sekitar stadium.

Sekatan tambahan turut dikenakan di zon peminat, dengan penerbangan tanpa kebenaran dilarang dalam radius satu batu nautika dan sehingga ketinggian 1,000 kaki (305 meter) dari aras tanah.

Andrew Giuliani, Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Rumah Putih bagi Piala Dunia FIFA, sebelum ini berkata, keselamatan kejohanan itu "disusun seperti Super Bowl" dan kesemua 78 perlawanan di AS akan dilindungi oleh sistem mitigasi pesawat tanpa pemandu (UAS).

Bagi menyokong usaha itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan program geran antipenggunaan dron bernilai AS$500 juta bagi membantu agensi penguat kuasa tempatan serta menubuhkan pusat latihan khas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang memfokuskan kepada teknologi berkenaan.

Kejohanan edisi 2026 yang akan berakhir pada 19 Julai itu dianjurkan di 16 bandar di seluruh AS, Kanada dan Mexico.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement