Kes kematian PALAPES: Pakar patologi minta lanjutan masa - AG

Mohd Dusuki menegaskan prosiding inkues akan dijalankan sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil laporan dan dapatan siasatan pihak polis serta Jabatan Kimia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakar patologi yang mengendalikan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memohon lanjutan masa bagi melengkapkan laporan bedah siasat kedua.
Ringkasan AI
- Pakar patologi memohon lanjutan masa untuk lengkapkan laporan bedah siasat kematian pelatih PALAPES UTM, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
- Peguam Negara menyatakan laporan itu penting untuk menentukan hala tuju siasatan seterusnya, termasuk keperluan prosiding inkues.
- Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur Allahyarham digali semula, manakala siasatan kematian beliau kini diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
“Setakat ini, pihak pakar memohon lanjutan masa untuk menyiapkan laporan dan polis juga masih menunggu laporan itu daripada Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Selain itu, Mohd Dusuki menegaskan prosiding inkues akan dijalankan sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil laporan dan dapatan siasatan pihak polis serta Jabatan Kimia.
“Tujuan inkues adalah untuk menentukan punca dan keadaan sebenar kematian, khususnya dalam kes yang menimbulkan persoalan awam seperti ini,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor pada 29 Julai, digali semula.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Ogos lalu itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan kes itu .
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


