Skip to main content

Malaysia

Kes kematian Rocky: Boleh hadir prosiding, tapi elak sertai perhimpunan - Polis

[TB]_sindiket pengedaran dadah IPK Selangor 5_ASTRO AWANI_SHAHIR OMAR
Shazeli (foto) berkata masyarakat seharusnya memberi kepercayaan dan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan proses perundangan berhubung kes berkenaan. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes kematian seekor anjing dikenali sebagai Rocky yang dijadualkan di Mahkamah Majistret Klang, pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata masyarakat seharusnya memberi kepercayaan dan ruang kepada pihak berkuasa dan membiarkan proses perundangan berjalan selepas siasatan berhubung kes berkenaan selesai dijalankan.

“Kalau wujud perhimpunan, saya menasihatkan supaya isu ini tidak perlu diperbesarkan sehingga diadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan.

“Daripada aspek perundangan, siasatan sudah dijalankan dan kita sudah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

"Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas perundangan.

“Masyarakat perlu meletakkan kepercayaan kepada agensi penguat kuasa undang-undang, untuk menjalankan siasatan sudah memberikan siasatan yang adil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, pada Rabu.

Shazeli berkata hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada arahan pertuduhan terhadap individu terbabit pada Khamis ini.

“Ini menunjukkan kita tidak memihak kepada mana-mana pihak.

"Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Justeru, kepada masyarakat, berilah kepercayaan dan ruang kepada proses perundangan untuk melaksanakan bahagiannya.

“Bagaimanapun, jika hadir untuk melihat prosiding pertuduhan itu, dipersilakan kerana ia terbuka kepada umum,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement