KUALA LUMPUR: Dua kes Leptospirosis atau kencing tikus, satu kes Rotavirus selain dua kes COVID-19 dikesan di Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, pesakit dipercayai dijangkiti Leptospirosis dan Rotavirus itu kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Katanya, mereka mengalami gejala demam, muntah dan cirit-birit selepas mengunjungi kawasan hutan lipur berkenaan.

“Kes-kes tersebut dalam siasatan dan masih menunggu keputusan ujian pengesahan Leptospirosis, penilaian risiko dan sampel persekitaran di kawasan berkenaan yang diambil pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah sebelum tindakan susulan dilakukan.

“Sehubungan itu, jika sesiapa mempunyai sejarah perjalanan ke Ulu Bendul dan mempunyai gejala, boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

BACA: 'Akhirnya dapat bertemu ayah, namun hanya jenazahnya' 

BACA: Aktiviti perkemahan di pesisir Tasik Putrajaya tidak dibenarkan

Baru-baru ini, tular dalam aplikasi media sosial berhubung kes kencing tikus dan Rotavirus selepas mengunjungi Pusat Rekreasi Ulu Bendul.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya turut mengesan dua kes positif COVID-19 di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, kawasan rekreasi berkenaan akan ditutup bermula esok sehingga Ahad depan bagi proses pembersihan dan menyahkuman.