KUALA LUMPUR: Kertas siasatan 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC, minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perbincangan akan diadakan bagi membuat keputusan sama ada mereka akan dituduh, bebas atau diusir bagi tiga suspek warga asing yang ditahan.

Beliau memberitahu, kesemua individu itu ketika ini masih lagi ditahan 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Kita sebelum ini menahan 10 individu termasuk tiga warga asing. Tempoh tahanan SOSMA tujuh individu warga tempatan akan tamat 14 Mei ini, manakala tiga lagi melibatkan warga asing akan tamat pada 15 Mei ini.

"Jadi, pada minggu ini kita akan mengadakan perbincangan untuk kes ini, mungkin kita akan membuat keputusan dalam kes berkenaan nanti.

"Insya-Allah dalam minggu ini, sama ada kita tuduh mereka jika ada evidence (bukti), atau dibebaskan jika tiada evidence atau usir mereka (tiga warga asing)," katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Polis Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Pada 19 April lalu Rusdi telah mengesahkan 10 suspek dalam kes lelaki Israel bersenjata api telah ditahan semula di Bawah SOSMA selama 28 hari bagi membantu siasatan lanjut

Shalom dan sepasang suami isteri warga tempatan bagaimanapun sudah dituduh di mahkahmah, manakala lima yang lain dibebaskan.

Mereka disyaki membekalkan senjata api yang bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Ia berikutan kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 boleh dihukum mati.