"Mereka berhenti rehat di stesen minyak itu disebabkan rakan yang memandu kereta pening kepala," kata Nor Jamilah Ahmad.

Dia adalah ibu saudara kepada Sharifah Fariesha Syed Fathi yang maut akibat lemas keracunan gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian yang disedari jam 1.40 pagi itu, rakannya, Ayuni Shazwanie Shabri, 21, turut meninggal dunia manakala dua lagi rakan mereka termasuk pemandu kereta itu kritikal.

Mengulas lanjut, Nor Jamilah berkata, dia tidak menyangka percutian anak saudaranya bersama tiga sahabat baiknya ke Pulau Pinang berakhir tragedi.

Katanya anak saudaranya itu baru menamatkan pengajian di sebuah kolej dan mahu meluangkan masa bersama mereka sebelum membawa haluan masing-masing.

"Saya diberitahu mereka berhenti rehat di stesen minyak itu ketika dalam perjalanan pulang kerana rakan yang memandu kereta (kini kritikal) tidak sihat, pening kepala dan muntah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

BACA: Dua penuntut maut, dua kritikal terhidu karbon monoksida ketika tidur dalam kereta

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, Sharifah Fariesha dan Ayuni Shazwanie maut, manakala rakan mereka yang juga pasangan kembar berusia 21 tahun kritikal dan dirawat di hospital di Lumut dan Kuala Lumpur.

Keempat-empat mereka dipercayai tertidur di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan sebelum lemas akibat terhidu gas karbon monoksida.