Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saudara-Saudari yang saya muliakan,
1. Saya bicara setelah melihat perkembangan di Asia Barat, negara Teluk, akibat dari serangan ganas Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran, dan sementara kita telah menyatakan pandangan kita dengan keras menentang kezaliman, dan penindasan dan pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika
Syarikat. Masalahnya lebih meruncing kerana tindak balas dari Iran itu bukan sahaja terkena kepada Israel,tetapi tempiasannya ke negara-negara Teluk yang
menimbulkan konflik dan ketegangan baru.
2. Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu wa ta'ala kerana kita dalam keadaan aman, damai, tetapi tentunya tidak terlepas dari tempiasan ini. Pertama, semua negara ini, Iran, negara-negara Teluk, itu negara sahabat yang akrab dengan kita, berdagang dalam budaya, dalam pendidikan, dalam pelaburan. Jadi, apa yang berlaku di sana itu tentunya mengesankan. Dan saban hari kita dihubungi dan berunding dengan mereka.
3. Hari ini, saya dengan Presiden Republik Islam Iran, Presiden Republik Mesir. Semalam, Presiden Turkiye dan semua kepala-kepala negara Teluk. Dan tadi jugakali ketiga berbicara dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif untuk mendapat keterangan tentang langkah-langkah untuk mencari perdamaian di antara kedua negara.
4. Tetapi tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah-langkah ke arah perdamaian tanpa suatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan bagi negara mereka.
5. Tempiasannya juga berlarutan ke Lubnan, sudah lebih sejuta yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dan jangan lupa, pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara.
6. Tapi untuk kita sekarang, kita terpaksa tangani kerana kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, kemudian peperangan, bekalan minyak dan gas yang terhenti, semuanya ada kesan kepada kita, walaupun sekali lagi saya katakan, kita dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini.
7. Saya ambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran, kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang.
Saudara-saudari,
8. Apakah kita boleh biarkan keadaan tanpa apa-apa tindakan dan memikirkan kita ini terlepas daripada semua permasalahan?. Bekalan makanan terjejas, harga tentunya akan meningkat. Baja juga begitu, tentunya minyak dan gas. Jadi, ada langkah-langkah yang perlu kita ambil. Ada negara-negara yang jauh
lebih parah kesannya dari kita, tetapi ini tidak bermakna kita terlepas semuanya sekali.
9. Maka, pada hari ini saya mengambil pendekatan yang lebih terangkum bagi menjamin bekalan dan pada masa yang sama mengurus supaya permintaan itu lebih berhemat dan waspada.
10. Dan kita nak ambil beberapa juga langkah yang saya mohon sangat-sangat kerjasama rakyat supaya memahami. Ini langkah yang kita ambil, terpaksa ambil kerana tekanan yang kita hadapi dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohaman dan tafsiran yang tak boleh kita elak. Tapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah.
11. Umpamanya, kita ada pelaksanaan Budi95. Semua negara, lebih-lebihnya negara jiran, menaikkan harga minyak, tapi Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak BUDI95 pada kadar RM1.99. Alhamdulillah. Dan kita tahu juga bahawa ini telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan kita juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan.
12. Oleh itu, kita meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan, dan hampir 90% rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak
terjejas.
13. Oleh itu, Kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026. Dan langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu. Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
14. Tapi bagaimana tentang had siling bagi e-hailing dan pekerja gig? Kita kekalkan had siling sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan.
Advertisement
15. Kedua, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik. Maknanya, bila
perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan. Tetapi
memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini. Tetapi ketirisan harus dikekang dan dikawal.
16. Maka kita akan mula menghadkan pengisian untuk ketika ini seperti berikut:
• Kenderaan ringan pengangkutan darat awam,
barangan dan persendirian maksimum 50 liter
setiap pembelian. Beli banyak bocor;
• Kenderaan pengangkutan darat awam dan
barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter
setiap pembelian;
• kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter
setiap pembelian.
Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua. Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini.
17. Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan
sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini.
18. Ini terkait juga dengan langkah ketiga, iaitu penguatkuasaan yang lebih tegas. Semua agensi dan jentera Kerajaan harus lebih tegas dan waspada. Kita
tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Dan oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera Kerajaan.
Saudara-saudari,
19. Saya ingin juga mengambil kesempatan ini mengucap terima kasih kepada rakyat yang cakna, dan sementara menerima keputusan ini dengan sabar dan bijaksana, tetapi ramai yang telah mengambil tanggungjawab melapor di stesen minyak, melapor kepada agensi penguatkuasaan tentang penipuan atau melalui media sosial mereka tentang penyalahgunaan ini, sama ada oleh orang asing ataupun orang tempatan yang bersekongkol untuk merompak kekayaan negara.
Saudara-saudari yang dimuliakan,
20. Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah. Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan saya percaya insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
21. Bagi pihak Kerajaan, insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi
Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini masih ramai yang datang.
22. Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman biar rakyat baik sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita dalam tiap ujian, cabaran dari Allah Subhanahu wa ta'ala dan keadaan yang berlaku di dunia masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.