MALAYSIA
Kes mahkamah libatkan PM Anwar boleh jejas kebebasan badan kehakiman - Muhyiddin

Muhyiddin mendakwa, Anwar berada dalam konflik kepentingan apabila mempunyai kuasa menasihati pelantikan hakim, sedangkan beliau sendiri sedang berdepan kes sivil di mahkamah. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Keputusan Jabatan Peguam Negara menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan penglibatan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam pelantikan hakim menimbulkan persoalan serius.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, penolakan itu satu isyarat kerajaan tidak komited terhadap reformasi institusi seperti dijanjikan, malah ia turut disuarakan oleh sembilan Ahli Parlimen daripada PKR.
Muhyiddin turut mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam konflik kepentingan apabila mempunyai kuasa menasihati pelantikan hakim, sedangkan beliau sendiri sedang berdepan kes sivil di mahkamah.
“Saya tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri. Penubuhan RCI memerlukan keputusan Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.“Malaysia sedang menyaksikan institusi-institusi utama negara dirosakkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan peribadinya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar memohon imuniti mahkamah, yang disifatkan belum pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara melibatkan seorang Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkembangan terkini menunjukkan kemerosotan kebebasan institusi kehakiman di bawah Kerajaan Madani, berbanding peningkatan yang dicapai semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya juga menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim selari dengan kehendak perlembagaan. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa keraguan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
“Ini kerana saya tidak pernah mencampuri urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak. Saya menghormati kebebasan badan kehakiman untuk menegakkan keadilan.
“Isunya ialah siapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri. Selagi mana orang yang menjadi Perdana Menteri mempunyai masalah peribadi yang membabitkan badan kehakiman, selagi itulah badan kehakiman tidak bebas,” ujarnya.
Pada masa sama beliau menjangka, dasar-dasar ekonomi yang membebankan rakyat seperti kenaikan tarif elektrik dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menjejaskan sokongan terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli parlimen kerajaan yang tidak lagi yakin dengan kepimpinan sedia ada agar menyatakan pendirian mereka secara terbuka di Dewan Rakyat kerana ia akan menyelamatkan negara daripada krisis kepimpinan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami