KUALA LUMPUR: Petisyen yang dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Zulkifli Hasan menegaskan, hanya 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang telah diputuskan terbatal dan tidak sah.

Sebaliknya, jelas beliau peruntukan-peruntukan dalam Enakman Ordinan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain masih lagi sah dan berperlembagaan.

"... dan boleh dikuatkuasakan selagi peruntukan-peruntukan (Perlembagaan) tersebut (di negeri-negeri lain) tidak dicabar dan tidak disytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

"Namun, adakah Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri-negeri untuk meminda undang-undang syariah di negeri?

"Jadi, apa yang boleh diputuskan berdasarkan Fasal 2 Perkara 74 dan butiran satu senarai dua, senarai Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan Hal Ehwal Agama Islam, di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja merupakan pihak berkuasa utama yang  perlu dirunding dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan bagaimana kerajaan hendak menguruskan peruntukan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, sedangkan undang-undang seumpamanya masih lagi ada di peringkat negeri.

Takiyuddin antaranya mengambil contoh kesalahan judi di Pahang yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri itu, tetapi berdasarkan kes Nik Elin ia tidak boleh dikuatkuasakan kecuali dicabar.

Beliau turut membangkitkan mengenai peranan wakil Jabatan Peguam Negara yang menjadi Penasihat Undang-undang di setiap negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) merangka Rang Undang-Undang (RUU) bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab perkara tersebut, Zulkifli berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mencelah dalam kes Nik Elin, sama seperti kes Iki Putra Mubarak yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah Selangor pada 2021.

"Makna, ini merupakan satu tindakan yang konsisten oleh Jabatan Peguam Negara melihat kepada keseluruhan perkara dan faktor yang ada hari ini.

"Itu merupakan konsistensi yang ada dan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara dan ingin mengingatkan bahawa 2021 (kes Iki Putra), bukan Kerajaan Madani," ujar beliau lagi.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin.