KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meminta supaya semua pihak mendapatkan fakta benar dan tepat mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Pengarah IKIM, Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya juga akan menggerakkan beberapa inisiatif dan gerak kerja susulan kes itu antaranya mengadakan persidangan meja bulat atau muzakarah pakar bagi menyampaikan maklumat perundangan betul melalui program radio, penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.

“Untuk pengetahuan, sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam ditubuhkan pada Disember 2023 berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.

“IKIM juga berbesar hati untuk terlibat sebagai anggota dalam sebarang jawatankuasa yang berkaitan dan memberi input kepada jawatankuasa khas sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mohamed Azam menjelaskan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menegaskan isu dalam kes berkenaan bukanlah tentang kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia.

"Namun beliau (Tengku Maimun) sebaliknya berkata, berkenaan sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya," ujar Mohamed Azam.

Beliau menambah, hukuman sivil dan syariah di Malaysia adalah berbentuk takzir yang mana hukuman bagi kesalahan diadakan pemerintah justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di Mahkamah Syariah.

“Fakta dalam isu kes ini adalah berkaitan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

“Dalam 20 peruntukan yang dicabar yang kemudiannya menjadi 18, hanya 16 peruntukan diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah iaitu seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen tersebut,” katanya lagi. -Sinar Harian