Tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian seorang pelajar cilik pusat tahfiz, Mohammad Aimin Nurul Amin yang berumur tujuh tahun Khamis lepas, kini direman sehingga Khamis ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan yang memaklumkan perkara itu semasa dihubungi di sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh dekat sini selepas ditemukan dalam keadaan lemah di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu.

Othman sebelum ini, mengesahkan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh arwah, yang baharu dihantar ke pusat tahfiz itu pada pertengahan Oktober lalu bersama-sama abang tirinya.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan ketika dihubungi mengesahkan bahawa pusat tahfiz berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak MUIP sejak mula beroperasi awal tahun ini dan pihaknya telah mengarahkan supaya pusat tahfiz itu ditutup hari ini.

Katanya MUIP yang membuat lawatan ke pusat tahfiz itu mendapati ia yang diusahakan oleh satu pasangan suami isteri, dan terdapat 14 pelajar belajar di situ, namun 10 pelajarnya berulang-alik setiap hari.

"Kami mendapati pusat tahfiz itu tidak menepati syarat dan kriteria yang diwajibkan bagi membuka pusat tahfiz termasuk dalam aspek keselamatan. Malah, jika diikutkan pusat tahfiz yang mahu mengambil pelajar kanak-kanak yang berusia tujuh tahun perlu mematuhi pelbagai syarat lain kerana mereka masih dianggap terlalu muda untuk menguruskan diri sendiri," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Selain keadaan pusat tahfiz tidak mengikut piawaian, Wan Abdul Wahid berkata kredibiliti dan kelayakan satu-satunya tenaga pengajar di pusat tahfiz itu juga boleh dipersoalkan kerana pengajar itu tidak dapat dipantau ekoran tahfiz berkenaan yang tidak berdaftar.

"Kita perlu pastikan ajaran yang dibawa adalah selari dengan amalan di negara ini, selain itu sekiranya ia melibatkan pelajar usia muda, subjek pendidikan adalah lebih meluas dan bukan hanya menghafal al-Quran semata-mata. Sebab itu, penting untuk ibu bapa mencari pusat tahfiz yang berdaftar bagi anak mereka supaya pendidikan yang diperoleh adalah menyeluruh untuk masa depan mereka," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata tindakan tegas menutup mana-mana pusat tahfiz tidak berdaftar di Pahang juga akan mula dikuatkuasakan mulai tahun hadapan, mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

BACA: Pelajar tahfiz maut dengan kesan lebam pada badan

BACA: 'Tengkuk, kaki Mohammad Aimin sejuk' - Warden asrama tahfiz

Katanya beliau berharap orang ramai tidak mudah menyerahkan tanah sebagai wakaf kepada mana-mana individu yang berhasrat membuka pusat tahfiz kerana ia menambah lagi kepada masalah pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Beliau berkata walaupun tindakan wakaf itu memang dibuat dengan niat baik, namun cara yang sebetulnya ialah dengan menyerahkan wakaf itu kepada majlis agama Islam supaya dapat ditadbir dengan lebih sempurna baik.

"Jika niat mahu membuka pusat tahfiz, maklumkan sahaja kepada MUIP semasa menyerahkan wakaf kerana ia lebih berterusan di bawah pentadbiran majlis. Sekiranya diwakafkan kepada individu, dikhuatiri wakaf itu tidak bersifat berterusan jika pemilik baharu tidak meneruskan pusat tahfiz itu atas sebab-sebab tertentu pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA