Kes penipuan dalam talian meningkat di Terengganu

Jumlah kerugian direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini ialah RM24.12 juta berbanding RM19.97 juta pada 2024. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA TERENGGANU: Kes jenayah penipuan dalam talian di Terengganu bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini meningkat kepada 1,223 kes berbanding 1,019 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata jumlah kerugian direkodkan bagi tempoh itu ialah RM24.12 juta berbanding RM19.97 juta pada 2024.
Beliau berkata belian dalam talian merekodkan jumlah tertinggi iaitu 457 kes diikuti pelaburan (238 kes), penipuan panggilan telefon (196 kes), pinjaman tidak wujud (162 kes), tipu tawaran (137 kes) dan love scam (33 kes).
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu telah membuka 1,755 kertas siasatan dengan 1,223 daripadanya melibatkan penipuan dalam talian.
"Kontinjen Terengganu juga melakar kejayaan apabila berada pada ranking pertama pemulangan wang melibatkan jenayah komersil iaitu RM629,124," katanya semasa berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.
Pada majlis itu, Pegawai Penyiasat Siasatan Pelaburan Sindiket JSJK Bukit Aman DSP Shahriman Shaari dinaikkan pangkat kepada Supt dan dilantik sebagai Ketua JSJK Terengganu.
Dalam pada itu, Mohd Khairi mengingatkan mangsa penipuan untuk membuat laporan segera ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk mengelak kerugian berterusan, selain dapat meningkatkan peluang sejumlah wang dikembalikan.
"Mangsa yang membuat laporan segera setelah mendapati berlaku transaksi mencurigakan mempunyai peluang lebih tinggi kerana polis boleh menyiasat, membeku (akaun) dan memohon dengan mahkamah agar wang dipulangkan. Jika kes sudah berbulan-bulan, sukar untuk kita bantu," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


