KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 7 April depan untuk perbicaraan semula kes bagi membabitkan harta sepencarian oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail berjumlah RM2 bilion ke atas ibu Allahyarham, Aminah Abdullah.

Hakim Haznita Hamidon menetapkannya selepas beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dalam perbicaraan hari ini dan meminta kedua-dua pihak berbincang di luar mahkamah terlebih dahulu.

Menurut peguam syarie yang mewakili Aminah, Farhan Haziq, tuntutan yang dibuat oleh pihak plaintif membabitkan aset-aset milik Jamaluddin yang telah ditinggalkan.

“Harta sepencarian yang telah dikemukakan adalah membabitkan tuntutan harta alih, harta tak alih dan juga termasuk saham dan akaun bank milik Jamaluddin di dalam dan di luar negara.

“Tuntutan yang dibuat oleh plaintif membabitkan aset-aset milik Allahyarham yang kini merupakan harta pusaka Allahyarham.

“Pada awalnya kes ini telah ditetapkan pada 30 Jun tahun lalu untuk diserahkan penyata keterangan. Tetapi pada pagi ini, kami baharu terima penyata keterangan daripada pihak plaintif, setebal 76 muka surat dan lebih 250 soalan dengan dua ikatan dokumen yang tebal.

"Tentunya tidak sempat untuk disemak sebelum bermula perbicaraan hari ini," jelasnya kepada media selepas berlangsungnya prosiding tersebut.

Mahkamah juga katanya turut menolak jumlah kos ke atas pengangguhan perbicaraan.

Tambahnya, amalan perbicaraan juga telah menetapkan sebarang penyata keterangan haruslah diserahkan lima hari lebih awal daripada tarikh perbicaraan.

Mahkamah juga katanya, telah mengeluarkan peringatan kepada pihak plaintif agar sebarang penyata keterangan perlulah diserahkan lebih awal kepada pihak pembelaan.

Jamaluddin terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di kawasan ladang getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru Semenyih pada 4 April 2015.

Helikopter tersebut turut dinaiki Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, seorang ahli perniagaan dari Kedah, Datuk Robert Tan, seorang yang dikenali sebagai Ajdiana Baiziera yang dipercayai pembantu juruterbang dan pengawal peribadi yang dikenali sebagai Raskan juga terkorban dalam nahas itu.