IPOH: Pasar raya besar Mydin Meru Raya di sini, disanitasi secara menyeluruh pada Sabtu, susulan terdapat kes positif COVID-19 dikesan di premis itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap pengurusan pasar raya berkenaan berkata, individu terbabit sedang mendapatkan rawatan lanjut dan semua kontak rapat telah dikenal pasti.

"Mereka yang terbabit juga menjalani kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Proses pembersihan dan sanitasi berkala setiap dua jam sentiasa dijalankan bagi memastikan keselamatan kakitangan dan komuniti terpelihara.

"Operasi pasar raya Mydin Meru Raya adalah mengikut pematuhan SOP yang ketat dan mengikut kebenaran KKM," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, pengurusan Mydin Meru Raya, ketika dihubungi memaklumkan operasi perniagaan pasar raya besar itu kini berjalan seperti biasa dari 8 pagi hingga 8 malam.

Pihaknya turut menafikan laporan yang tular di media sosial kononnya seramai 14 kakitangan pasar raya tersebut positif COVID-19.