KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), kontraktor projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang, menerima bayaran berjumlah RM74.8 juta daripada Ewein Zenith Sdn Bhd (EZCB) bagi pindah milik dua lot tanah kerajaan negeri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang mendedahkan perkara itu, berkata pembayaran dibuat secara berperingkat dari 18 Nov 2013 hingga 30 Mac 2015.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding 16 Julai 2021, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng berkata CZBUCG menamakan lot itu kepada EZCB, yang dimiliki Pengarah Urusan EZCB Datuk Ewe Swee Kheng, dan ia dibangunkan dengan projek mega dikenali sebagai City of Dreams.

Ewe, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Okt 2021.

Pada prosiding hari ini, bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Pulau Pinang Datuk Akmar Omar, 63, yang merupakan saksi pendakwaan ke-35, berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pembayaran itu.

Ahmad Akram: Datuk tidak mempunyai pengetahuan mengenai pembayaran. Tetapi ketika pembayaran ini dibuat, adakah tanah ini masih milik kerajaan negeri?

Akmar: Ya, masih milik kerajaan negeri.

Disoal peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, mengenai perjanjian awal di antara kerajaan negeri dan CZBUCG berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong, beliau berkata ia bukan sesuatu di luar batasan undang-undang.

Gobind: Datuk, sebelum ini tiada projek terowong di Pulau Pinang dan ia merupakan projek besar serta memerlukan perhatian dan kebenaran khas. Ia bukan apa-apa keistimewaan tetapi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ia berjalan rancak. Betul?

Akmar: Ya, betul... ia untuk pembangunan kerajaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Khamis ini.

-- BERNAMA