MALAYSIA
Kes rogol: Ahli Majlis Daerah Kuala Krai mengaku tidak bersalah

Seorang Ahli Majlis Daerah Kuala Krai mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan merogol seorang pekerja wanitanya yang berumur 29 tahun. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Seorang Ahli Majlis Daerah Kuala Krai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang pekerja wanitanya yang berumur 29 tahun.
Ringkasan AI
- Tertuduh mengaku tidak bersalah: Seorang Ahli Majlis Daerah Kuala Krai, Muhammad Jaya Murugan Abdullah, 47, didakwa merogol pekerja wanitanya di sebuah premis dobi pada 29 Mei dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.
- Permohonan jaminan dan hujahan: Peguam tertuduh memohon jaminan atas faktor tanggungan keluarga dan latar belakang komuniti, manakala pihak pendakwa membantah atas alasan kes serius dan mencadangkan jaminan RM30,000.
- Keputusan mahkamah: Hakim membenarkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan termasuk larangan mengganggu mangsa; sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikenakan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, ketua komuniti kaum masyarakat India setempat, serta aktif dalam perniagaan dan kegiatan kemasyarakatan.
"Tertuduh mempunyai 12 anak termasuk dua anak tiri, dan masih menanggung 10 anak yang masih bersekolah. Penjamin yang dicadangkan ialah adik kandungnya yang bekerja sebagai pengurus ladang. Anak guam kami juga bersedia melaporkan diri di balai polis," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli membantah permohonan itu atas alasan keseriusan kes berkenaan dan mencadangkan jaminan RM30,000 dikenakan berserta syarat tambahan.
Hakim kemudiannya membenarkan dia diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan beberapa syarat tambahan, dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap dua bulan dan dilarang mengganggu wanita berkenaan dalam apa jua bentuk.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami