KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan Akta Kanak-Kanak 2001 dan akta berkaitan seksual kanak-kanak yang sedia ada, jika dilaksanakan dengan berkesan, sudah cukup untuk mengekang penderaan seksual dalam kumpulan tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bagaimanapun kes rogol kanak-kanak berkemungkinan berlaku kerana masalah advokasi dan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

"Sebab itulah di peringkat (kementerian) kita berusaha keras supaya mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ini supaya bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada penambahan jawatan seperti mana yang disebut oleh Tumpat (Datuk Mumtaz Md Nawi).

"Tetapi kita boleh memberikan pengkhususan dan tumpuan dengan mewujudnya Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.

"Kita ada pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai kebajikan kanak-kanak yang boleh memberikan tumpuan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai kejadian kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki yang juga rakan abangnya di sebuah kampung di Gerik seperti dilaporkan semalam.

Yuneswaran turut bertanya apakah langkah yang diambil oleh kerajaan dan perlunya undang-undang di negara ini dikaji semula bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, dari segi Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang ditubuhkan pada 1 September lalu, terdapat sekurang-kurangnya sembilan perkara untuk mencegah penderaan seksual dan kes rogol kanak-kanak.

Antaranya pencegahan dan pertambahan jawatan, advokasi dan peranan komuniti setempat juga ibu bapa, serta pemulihan dan sokongan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kejadian rogol kanak-kanak berlaku kerana pengaruh media sosial.

"Jadi perkara-perkara itu memerlukan kerjasama supaya semua pihak boleh memberikan perhatian tentang perkara ini," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan kesedihannya kerana kes rogol kanak-kanak masih lagi berlaku.