KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu kemungkinan besar kecederaan yang dialami oleh remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella disebabkan oleh air panas.

Pakar Bedah Plastik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmi Mohamed Shukor, 46, berkata ia berdasarkan laporan oleh pegawai perubatan yang bertugas iaitu Dr Sheshadri Srida yang merawat Bella pada 26 Jun 2021.

Jelas saksi pendakwaan ke-15 itu lagi, beliau kemudian membuat rondaan di wad 15 sekitar pukul 11 pagi pada hari sama, dimana Bella ditempatkan di wad tersebut kerana disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di sini pada Isnin.

Namun begitu, saksi tersebut mengakui Bella tidak secara langsung memaklumkan mengenai punca kebakaran yang dialaminya.

"Untuk tahu punca luka kena 'tally' dengan rekod sejarah (kesihatan). Bagi Bella, dia tak terbuka untuk beritahu apa yang terjadi. Saya tidak dapat (punca kejadian) daripada dia. Jadi saya kena dapatkan daripada laporan, yang 'mostly' (punca kebakaran) adalah daripada air panas," katanya yang mula bertugas sebagai pakar bedah pada tahun 2010.

Ditanya bagaimana keadaan Bella ketika itu, Dr Salmi berkata beliau mendapati terdapat kesan luka pada bahagian tangan kanan dan kiri remaja perempuan itu dengan kelecuran masing-masing pada tahap 0.5 peratus dan satu peratus keluasan kebakaran atau Total Body Surface Area (TBSA).

"Untuk Bella tahap kedalaman kebakaran (lecur), masa datang dia sudah ada keruping dan (mengalami) tisu merah. Berdasarkan pengalaman saya dan saya melihat luka dia walaupun saya tak tahu bila (kejadian) terbakar, Bella mengalami kecederaan tahap dua," katanya lagi.

Beliau berkata, tahap kelecuran Bella ditentukan berdasarkan saiz dan kedalaman luka yang dialami olehnya.

Disebabkan Bella kelihatan mengalami 'luka kronik', Dr Salmi menambah beliau mengesyaki remaja perempuan itu telah mengalami kecederaan lebih daripada tiga minggu.

"Kalau kena disebabkan air panas, biasanya kecederaan boleh baik dalam tempoh dua minggu jika tidak mengalami kesan sampingan.

"Saya buat cucian luka setiap hari untuk elak jangkitan kuman yang akan datang dan kekalkan (pemulihan) luka untuk dirinya," katanya yang mengakui bahawa Bella tidak mengalami kesan sampingan pada bahagian luka.

Noor Azizah turut bertanyakan sama ada Dr Salmi melihat kesan kecederaan lain pada bahagian anggota badan Bella.

Menjawab pertanyaan tersebut, beliau berkata ketika penilaian kesihatan, saksi tersebut mendapati terdapat tanda-tanda kesan luka yang sudah pulih pada bahagian lain.

Noor Azizah: Maksudnya?

Dr Salmi: Ada yang berparut, ada yang tisu (sudah) tumbuh balik. Tisu tumbuh balik itu sama ada gelap atau pucat (warna parut).

Dalam perkembangan sama, Dr Salmi memberitahu bahawa Bella menangis ketika menerima rawatan menyebabkan pihaknya terpaksa memegang dan menenangkan remaja perempuan berkenaan.

Saksi pendakwaan itu berkata kali terakhir beliau merawat Bella adalah pada 14 September 2021 sebelum remaja perempuan itu dipindahkan ke sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.

Dr Salmi kemudian diminta melakukan pengecaman dan pemeriksaan semula terhadap Bella di mahkamah dan memaklumkan kesan kebakaran pada bahagian tangan kanan kanak-kanak itu telah menunjukkan parut matang dan tiada kemerahan.

Sementara bagi tangan kiri, Dr Salmi berkata parut pada bahagian tersebut masih belum matang dan terdapat kemerahan, selain Bella mengakui masih mengalami kegatalan.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.