KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim akan dibicarakan selama tiga hari bermula 23 April tahun depan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Peguam Datuk S.N Nair, yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata tarikh perbicaraan iaitu pada 23, 24 dan 25 April 2024 ditetapkan oleh Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani pada prosiding pengurusan kes itu semalam (12 Julai) yang berlangsung secara dalam talian (Zoom).

"Mahkamah mengarahkan pihak-pihak memfailkan pernyataan saksi selewat-lewatnya pada 11 April 2024," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Nair berkata pihak plaintif akan mengemukakan empat orang saksi termasuk Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagi memberi keterangan.


Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 22 Dis 2022, Presiden PKR itu mendakwa pada 7 Dis tahun sama, Ahmad Amzad, selaku defendan telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai Penasihat Ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana beliau menentang rasuah.

Beliau mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad, yang mewakili PAS, bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas memutuskan bahawa pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

-- BERNAMA