Kes saman fitnah difailkan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap bekas perunding syarikat itu Shamsubahrin Ismail selesai, selepas Shamsubahrin memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab merekodkan penyelesaian kes itu dan membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan Mohamad Salleh pada 3 Julai lepas, tanpa kos.

Shamsubahrin selaku defendan ketika membacakan kenyataan maaf itu berkata, "Sebagai tanda muhibah dan untuk mengetepikan perselisihan yang pernah berlaku antara kita, saya, Shamsubahrin Ismail memohon maaf dan menyesali akan perbuatan yang telah mencemarkan reputasi Mohamad Salleh yang mungkin telah mengaibkan, memberi tekanan dan ketidakselesaan kepada beliau akibat posting dalam laman Facebook saya seperti dirujuk dalam pernyataan tuntutan.

"Saya berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan atau kenyataan serupa membabitkan Mohamad Salleh, isterinya, tiga anaknya dan NFCorp, National Meat and Livestock Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd".

Selepas itu, Mohamad Salleh memaafkan Shamsubahrin dan turut memohon maaf kepada Shamsubahrin serta memaklumkan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang laporan polis menuduh defendan menipunya.

"Justeru, saya menyatakan perkara ini telah berakhir dan selesai," kata Mohamad Salleh di hadapan Mohd Zaki.

Mohd Zaki turut melahirkan rasa gembira kerana kes itu telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

"Saya membuat perintah writ dan penyata tuntutan plaintif (Mohamad Salleh) dibatalkan tanpa kos," katanya.

Mohd Zaki juga bertanya kepada plaintif dan defendan, "kamu tidak mahu bersalam ke?

Shamsubahrin dan Mohamad Salleh kemudiannya berjabat tangan dan berpelukan sebelum Shamsubahrin mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Salleh kerana menyelesaikan kes berkenaan.

Di awal prosiding, peguam Al Firdaus Shahrul Naing, yang mewakili Mohamad Salleh memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju dan mencapai penyelesaian, dan memaklumkan anak guamnya akan menarik balik saman berkenaan.

Peguam itu berkata kedua-dua pihak juga tidak memohon sebarang perintah berkenaan kos memandangkan mereka bersetuju untuk mencari penyelesaian dalam kes saman tersebut.

Peguam J. Leela, yang mewakili Shamsubahrin kemudiannya mengesahkan penyelesaian saman berkenaan.

Pada 3 Julai lepas, Mohamad Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Shamsubahrin atas dakwaan memuat naik kenyataan berunsur fitnah mengenai dirinya dalam akaun Facebook milik Shamsubahrin.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Shamsubahrin telah memuat naik enam kenyataan berunsur fitnah membabitkan dirinya (Mohamad Salleh) dalam akaun Facebook atas nama Shamsubahrin Ismail Tom antara 19 Mei dan 23 Jun lepas, yang boleh diakses oleh orang ramai.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh, pada 18 Mei lepas, menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan terhadap Shamsubahrin atas dakwaan menipunya membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mohamad Salleh antara lain mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau bersekongkol dengan isterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempengaruhi Hakim Rozilah dengan mensabitkan Shamsubahrin sebagai bersalah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Semalam, Mohamad Salleh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat selepas Jabatan Peguam Negara meneliti surat representasi yang dikemukakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.