KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu, adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada hasil penyiasatan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata ia bukan disebabkan desakan oleh pihak tertentu atau faktor lain.

Katanya, keputusan dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tanpa memihak kepada sesiapa.

Beliau berkata, ia berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya, selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi AGC menafikan dakwaan wujudnya  pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

"Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu terbabit akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan ke atas Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai penganiayaan berunsurkan politik dengan menyalahgunakan perundangan negara.

Selasa lalu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu di Mahkamah Sesyen Selayang.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, sebanyak 58 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung perkara berkenaan.

Susulan itu, Muhammad Sanusi ditahan pada pukul 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, di sini, pagi Selasa, oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Bahagian Gengsterism (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas memaklumkan tindakan menahan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi itu dibuat selepas beliau dan pegawai khasnya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan mengenai dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Selayang, Gombak.