KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan kes penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) setakat ini tidak membabitkan sumber daripada mana-mana institusi zakat di negara ini.
Jelasnya, dalam siasatan terkini SPRM, NGO berkenaan menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Advertisement
“Dalam siasatan terkini SPRM, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya.
Tambah beliau, siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang memperluas skop siasatan.
Pada masa sama, SPRM terus komited untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan yang dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.
Hari ini, Astro AWANI melaporkan, seorang timbalan pengerusi NGO bersama seorang pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Shah Alam sekitar jam 9.11 pagi ini diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Semalam, SPRM mendedahkan bahawa seorang timbalan pengerusi NGO merupakan antara tiga individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat melibatkan jumlah besar tersebut.