KUALA LUMPUR: Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, bagi setiap tiga pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan memiliki senjata api untuk aktiviti berkaitan keganasan manakala tiga tahun penjara atas kesalahan memiliki buku berkaitan kumpulan pengganas.
Advertisement
Anak lelakinya pula, Radin Romyullah, 36, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi satu pertuduhan memberi sokongan dan penjara tiga tahun kerana memiliki bahan berkaitan sebuah kumpulan pengganas.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 17 Mei 2024. Ini bermakna dua beranak itu akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.
Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang Radin Luqman, 21, yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap isteri Radin Imran iaitu Rosna Jantan, 61, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh sama (17 Mei).
Sementara itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan dua anak perempuan Radin Imran, iaitu Farhah Sobrina, 25, serta Mariah, 21, daripada pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan, selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan pihaknya menarik balik pertuduhan terhadap mereka.
Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh, Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata kesalahan-kesalahan dilakukan tertuduh adalah amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.
"Walaupun pengakuan salah tertuduh-tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa tetapi pada masa sama ia bukan suatu bentuk diskaun untuk kesalahan-kesalahan yang serius," katanya.
Hakim itu berkata mahkamah juga mengambil kira bahawa dalam hujahan mitigasi pihak pembelaan dan pendakwaan, tiada sebarang pembelaan wajar atau munasabah dikemukakan yang menjustifikasikan kenapa perbuatan salah itu dilakukan.
Berdasarkan fakta kes dibacakan di mahkamah menyatakan bahawa Radin Imran sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan fahamannya serta menyampaikan dakwah berkenaan taghut, kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.
Bermula sekitar 2013 hingga 2015, Radin Imran terdedah kepada ideologi kumpulan pengganas dan mula menjadikan Abu Bakar Al-Baghdadi sebagai ikon perjuangan.
Radin Imran dan keluarganya didapati menjauhkan diri daripada masyarakat setempat dan sering mengasingkan diri dan siasatan pegawai penyiasat di rumah tempat kejadian juga mendapati dia menulis ayat-ayat dan kenyataan berunsurkan kebencian terhadap kerajaan serta pasukan keselamatan di dinding rumah antaranya menyatakan bahawa polis serta tentera adalah taghut dan wajib diperangi.
Dia juga menyatakan hasrat agar mereka menyerang polis dan balai polis, serta menyifatkan kematian dalam serangan tersebut sebagai mati syahid selain menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan berkait kumpulan pengganas kepada ahli keluarganya iaitu pelaku serangan (Radin Luqman) serta tertuduh kedua dan ketiga iaitu Farhah Sobrina dan Mariah.
Radin Romyullah dalam kenyataan bertulisnya mengakui bahawa sekiranya berpeluang dia akan menyerang anggota polis di mana sahaja menjumpai mereka dan pernah berangan-angan untuk membawa seluruh keluarga menaiki van yang dipenuhi muatan bahan letupan, menyerang hari perbarisan merdeka dengan menyasarkan anggota keselamatan negara (polis, tentera terutamanya komando).
Radin Romyullah juga menganggap tindakan Radin Luqman menyerang dan membunuh polis adalah benar kerana menurut fahamannya polis dan tentera adalah berstatus 'kafir'.
Radin Imran didakwa atas empat pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas, memberi sokongan kepada kumpulan itu, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan terbabit, di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014 hingga 17 Mei 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun berserta denda; Seksyen 130J(1) iaitu penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan; dan Seksyen 130JB(1)(a) iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu.
Radin Romyullah didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan itu antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei 2024 mengikut Seksyen 130J(1)(a) yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun berserta denda dan Seksyen 130JB(1)(a) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda.
Rosna yang merupakan warga Singapura didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan manakala dua anaknya Farhah Sobrina dan Mariah didakwa sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024, mengikut Seksyen 130M yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Faizal Rahman merayu hukuman minima kerana kesemua anak guamnya memberi kerjasama yang baik semasa siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pula memohon hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan oleh semua tertuduh amat serius dan bersifat mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam, serta nyawa orang awam berada pada tahap yang sangat berat.
"Tertuduh bukan beri sokongan pasif atau sekadar memiliki bahan-bahan yang berkaitan keganasan, sebaliknya telah menunjukkan ideologi dengan berbaiah," katanya.
-- BERNAMA