KUALA LUMPUR :Tempoh inkubasi virus COVID-19 sehingga 14 hari dalam kes sporadik antara cabaran utama petugas perubatan untuk menjalankan pengesanan kontak.

Demikian jelas Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman.

Malah jelasnya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan ketika ini di beberapa kawasan zon merah amat membantu pasukan perubatan dalam mengesan kes sporadik.

"Semua langkah perintah kawalan pergerakan adalah dilaksanakan berdasarkan perbincangan teliti di peringkat pusat kawalan bencana. Pastinya segala langkah dan usaha yg perlu untuk menjejaki kontak kes sporadik sedang dijalankan.

"Perlu diingatkan masa inkubasi 2 minggu adalah agak lama dengan itu kes positif yang menjadi punca kes sporadik itu sukar ditemui. Inilah cabaran terbesar buat team yg menjalankan pengesanan kontak atau contact tracing

"Dengan itu cadangan saya ialah untuk kita elakkan dari mengunjungi tempat yang mana telah dikunjungi kes COVID  positif. Di sini, (penggunaan aplikasi) MySejahtera dan pengumuman pergerakan kes adalah penting," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.


Malah orang ramai diingatkan agar mengelakkan diri daripada pergi ke kawasan yang telah dilaporkan kes positif COVID-19 sebelum ini.

Tambah Dr Adlina, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)yang dilaksanakan di beberapa kawasan di Lembah Klang, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah mula menunjukkan kejayaan.

"Untuk sekarang ini, saya rasa ia berkesan sebab kita sudah ada penurunan kes di Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang. Saya rasa Sabah akan menyusul (penurunan kes) kita bagi tempoh lagi dua minggu ye," katanya.

Sehingga kini, 29,441 kes dicatatkan di negara ini dengan 10,123 kes kebolehjangkitan.

Malah nilai R-naught (RO) bagi Malaysia kini dapat dikurangkan kepada 1.1 berbanding 2.2 ketika gelombang ketiga pada 20 September lalu. Ia susulan perlaksanaan PKPB di beberapa kawasan di negara ini.