PUTRAJAYA: Cubaan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu berhubung kes SRC International hanyalah berlandaskan keterangan ‘khabar angin’ (hearsay), Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram ketika memberi hujah balas berkata, mahkamah perlu menolak bukti baharu berkenaan kerana afidavit tambahan bekas Perdana Menteri itu berpandukan keterangan pihak ketiga.

Beliau berkata, cubaan pasukan pembelaan itu, menurut pandangan pasukan pendakwaan, tidak lebih daripada sekadar cubaan melengah-lengahkan perbicaraan.

Sekiranya permohonan pembelaan berjaya, Sithambaram berkata, mahkamah berada dalam kedudukan sukar untuk mengetahui sekiranya saksi tersebu yang terdiri daripada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dua pegawai bank, akan bercakap perkara yang sama sekiranya dipanggil ke kandang saksi.

“Apa akan terjadi sekiranya saksi itu bercakap perkara yang bercanggah dengan afidavit Datuk Seri Najib? Sudah tentu kesemua ini akan menjadi sandiwara semata-mata,” katanya lagi.

Permohonan meminda notis dan usul itu didengarkan di hadapan panel lima hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain itu, ia turut dibarisi Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan tiga Mahkamah Persekutuan;  Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah.

Terdahulu, pasukan pembelaan yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik berkata, Hakim Perbicaraan kes tersebut iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak mendedahkan bahawa beliau sebenarnya berada dalam Maybank Group, yang bertanggungjawab terhadap pembentukan SRC International Sdn Bhd pada 2010.

Hisyam berkata, kegagalan Mohd Nazlan untuk mendedahkan perkara itu, boleh mengakibatkan mana-mana pihak rasional akan menganggap beliau tidak boleh bersikap objektif dalam mengadili kes penyelewengan dana RM42 milik SRC International.

Selain itu, beliau berkata, pasukan pendakwaan juga tidak menyediakan dokumen sewajarnya kepada pembelaan yang sebelum ini diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhubung penglibatan Mohd Nazlan dalam Maybank.

Untuk rekod, Mohd Nazlan pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Am dan Setiausaha Kumpulan Maybank antara 2006 hingga 2015.

Pada 28 Julai 2020, beliau telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta terhadap Najib berhubung penyelewengan dana tersebut.

Bagaimanapun, dalam hujah balasnya, Sithambaram berkata, kedudukan Mohd Nazlan dalam Maybank bukanlah sesuatu rahsia, malah pernah juga dilaporkan dalam beberapa artikel media sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, dakwaan pasukan pembelaan bahawa maklumat tersebut disembunyikan adalah tidak benar kerana terdapat dokumen yang dalam rekod pembelaan sendiri, bahawa 1MDB telah melantik Maybank dan Bina Fikir Sdn Bhd untuk mewujudkan syarikat strategik, bukan SRC International semata-mata.

Hujahnya lagi, memang terbukti bahawa Maybank ada memberi khidmat nasihat kepada SRC International, tetapi itu tidak membawa maksud Mohd Nazlan sendiri memberi pandangan atau nasihat peribadi berhubung penubuhan syarikat itu.

Kesemua bukti baharu itu, kata Sithambaram, tidak lebih daripada cubaan pasukan pembelaan untuk memancing lebih banyak keterangan, serta melengah-lengahkan perbicaraan.

Permohonan Hisyam untuk lebih masa diberikan kepada pasukan pembelaan sebelum memberi hujah balas, mendapat kebenaran Tengku Maimun dan mahkamah ditangguhkan sehingga 9.30 pagi Selasa.