MALAYSIA
Kes SRC International: 'Saya sedia hadapi ujian dengan tenang dan reda' - Najib

Najib turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama penyokongnya mengadakan solat jemaah kerana beliau menjadi kontak kasual kepada pesakit COVID-19. - Gambar/ Facebook Najib Razak
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan mahkamah berhubung rayuan sabitan bersalah dan hukuman atas tujuh kesalahan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta yang dijadualkan esok.
Dalam kemas kini di laman sosialnya malam ini, Najib turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama penyokongnya mengadakan solat jemaah kerana beliau menjadi kontak kasual kepada pesakit COVID-19.
"Maaf tidak dapat solat berjemaah bersama malam ini. Bacaan Yasin dan doa kita buat secara maya sahaja malam ini, atas sebab status kontak dengan pesakit positif COVID-19.
"Saya menerima banyak mesej, dapat panggilan, dan ada baca banyak posting dan komen-komen di Facebook yang memberikan kata-kata sokongan dan doa juga. (Saya) amat menghargai setiap satunya.
"Saya sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan redha. Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada hambaNya dan permudahkan segalanya," tulisnya.
Media melaporkan peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan anaknya Muhammad Farhan, yang juga seorang peguam dalam pasukan Najib, telah diuji positif COVID-19.
Hari ini, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu untuk dipertimbang dalam rayuan kes beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Dengan itu, keputusan rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta yang dijadualkan esok akan diteruskan seperti biasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami