KUALA LUMPUR: Hari ini, Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ia rayuan terakhir Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

BACA: Proses rayuan terakhir Najib Tun Razak bermula Isnin

Difahamkan, Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu akan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula.

Jika Najib gagal dalam permohonannya bagi menuntut perbicaraan semula kes SRC, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan.

Ahli politik berusia 69 tahun itu menukar pasukan peguamnya hanya 21 hari sebelum rayuan dengan melantik peguam jenayah terkemuka Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utamanya, manakala Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners’ (ZIST) rakan kongsi Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam sebagai peguam cara baharunya untuk rayuan itu.

Sebelum ini, firma guaman Tetuan Shafee & Co yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dalam kes SRC sejak kali pertama bekas perdana menteri itu didakwa.

Bagaimanapun pada 26 Julai, Najib bertindak memberhentikan serta-merta firma dan peguam terbabit daripada mewakilinya dalam rayuan terakhirnya.

Pada 26 Julai, pasukan peguam baharu Najib memohon Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan pendengaran rayuan kerana “pasukan baharu sepenuhnya mengambil alih” kes SRC.

Bagaimanapun, pada 28 Julai, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan pasukan pembelaan Najib dan mengarahkan perbicaraan rayuan dimulakan pada 15 Ogos seperti dijadualkan.

Najib mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai alasan beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini 

Bekas perdana menteri itu didakwa pada 4 Julai 2018, sekali gus kes pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman negara.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

Pendakwa raya ad hoc V.Sithambaram akan hadir untuk responden (pendakwa raya) manakala peguam Hisyam, Liew dan Rueben mewakili Najib sebagai perayu.