KUALA LUMPUR: Bermula Isnin, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal melalui proses rayuan terakhirnya berhubung sabitan terhadap kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Media melaporkan proses rayuan melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu di Mahkamah Persekutuan selama 10 hari, antara 15 Ogos hingga 26 Ogos, 2022.

Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa pada 4 Julai, 2018.

Pada 8 Ogos 2018, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

PERBICARAAN DI MAHKAMAH TINGGI

Sewaktu awal pendengaran kes, pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara ketika itu, iaitu Tan Sri Tommy Thomas, manakala pasukan pembelaan diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan pada mulanya dilakukan di hadapan Datuk Mohd Sofian Abd Razak, bagaimanapun Hakim itu menarik diri atas alasan beliau merupakan adik kepada salah seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang, yang juga ADUN Benta dari UMNO, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak

Sehubungan itu, Mohd Sofian digantikan oleh Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dan surat pertukaran itu ditandatangani Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Pada 3 April 2019, perbicaraan bermula selepas Mohd Nazlan menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadap kes beliau sebagai tidak sempurna.

Pada 11 November tahun yang sama, Mohd Nazlan memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, sekali gus memerintahkan bekas Perdana Menteri itu untuk membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.


NAJIB PM PERTAMA DISABIT KESALAHAN

Selepas 19 saksi memberi keterangan, termasuk Najib sebagai saksi utama pembelaan bagi menjawab tuduhan ke atasnya, Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 mendapati Najib bersalah, dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.

Memetik laporan Bernama, Mohd Nazlan dalam alasan penghakimannya berkata, Najib berada di kedudukan untuk mengakses dana yang diperlukan dari SRC International bagi tujuan tertentu.

Katanya lagi, fakta menunjukkan pihak yang terlibat ialah Kabinet iaitu Kerajaan, dan SRC International Sdn Bhd, sekaligus menunjukkan kelulusan Kabinet berhubung penyaluran RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) ke syarikat tersebut, memberi manfaat kepada Najib.

“Sehubungan itu, dalam penghakiman saya, selepas memeriksa pembelaan tertuduh dan menimbang semua pembelaan dalam kes ini, saya dapati pembelaan gagal menyangkal sangkaan menurut Seksyen 23(2) Akta SPRM…

“… mengenai keseimbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dari segi tuduhan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM,” kata Mohd Nazlan lagi.



Bagaimanapun beliau membenarkan permohonan pembelaan agar Najib tidak menjalani hukuman sehingga selesai rayuan di peringkat seterusnya iaitu di Mahkamah Rayuan.

Mohd Nazlan kemudian meningkatkan jumlah ikat jamin Najib dari RM1 juta kepada RM2 juta dengan dua penjamin.

Kes tersebut mendapat liputan meluas, bukan sahaja dari dalam, tetapi juga di luar negara memandangkan beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama yang dituduh dan disabitkan kesalahan di Mahkamah.

Bagaimanapun Najib telah menfailkan petisyen rayuan pada 30 Julai 2020, dengan 307 alasan mengapa keputusan Mohd Nazlan perlu ditolak, sekaligus membebaskan bekas Perdana Menteri itu dari kesemua sabitan.

Pihak pendakwaan pula, memberitahu media pada 11 Ogos, mereka juga telah mengemukakan petisyen rayuan bagi menambah hukuman penjara dan denda ke atas Najib.

PERBICARAAN DI MAHKAMAH RAYUAN

Pada 5 April 2021, rayuan Najib untuk mengenepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bermula di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan – diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, dan turut dibarisi Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 8 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan dan denda ke atas Najib.

Sewaktu membaca ringkasan penghakiman, Abdul Karim berkata, panel tiga hakim bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan (Mohd Nazlan) bahawa Najib selaku Perdana Menteri mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet, sewaktu meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Abdul Karim berkata, mereka bertiga memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

"Itu hanyalah pengurusan kewangan dana awam yang buruk. Ia bukan sesuatu yang boleh dikatakan dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, ia cuma memalukan negara (no national interest here, only national embarrassment)," katanya sewaktu membacakan keputusan.

Dalam sidang media susulan, Muhammad Shafee menganggap kenyataan ‘national embarrassment’ itu tidak sepatutnya digunakan, malah boleh menimbulkan kesan fitnah ke atas Najib.

Tegasnya lagi, beliau kecewa dengan penggunaan perkataan yang dipilih, memandangkan Najib masih mempunyai peluang untuk membuktikan beliau tidak bersalah, iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee berkata, pasukan pembelaan akan memohon untuk Mahkamah Persekutuan mengeluarkan perkataan tersebut dari alasan penghakiman, sewaktu rayuan seterusnya.

NAJIB CUBA DAPATKAN KHIDMAT PEGUAM UK, MASUKKAN BUKTI BAHARU

Pada 25 Januari 2022, Najib dilaporkan telah memohon untuk mendapatkan khidmat peguam paling kanan United Kingdom (QC), Jonathan Laidlaw, dalam rayuan akhirnya.

Menurut laporan media, alasan permohonan tersebut ialah kerana seorang QC mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk menasihati, dan mengendalikan rayuan akhir Najib.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan tersebut, selepas mendapati Laidlaw tidak mempunyai kelayakan khas atau pengalaman yang diperlukan untuk mengendali kes seperti rayuan Najib.

Pada 15 Mac tahun ini, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, telah mendengar rayuan Najib untuk memasukkan bukti baharu yang dikaitkan dengan maklumat perbankan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Muhammad Shafee berhujah, Mahkamah Rayuan pada 7 Disember 2021 telah terkhilaf dalam menolak permohonan itu, atas alasan telah salah dalam mengendalikan pendengar permohonan berhubung bukti baharu tersebut.

Bagaimanapun Tengku Maimun ketika membacakan alasan penghakiman pada 16 Mac, menolak rayuan Najib atas alasan tidak mempunyai merit, kerana bukti baharu itu tidak ada kaitan dengan rayuan SRC.



ZIST DAN HISYAM KINI JADI PASUKAN PEMBELAAN 

Pada 26 Julai pula, Najib telah melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) dan Hisyam Teh Poh Teik sebagai pasukan pembelaanya yang baharu, menggantikan Muhammad Shafee.

Hisyam kemudiannya memohon untuk pendengaran Mahkamah Persekutuan ditangguhkan atas alasan, perlu lebih masa untuk meneliti kes tersebut.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai lepas, sekali gus menetapkan rayuan berlangsung pada tarikh yang telah ditetapkan, iaitu antara 15 Ogos hingga 26 Ogos, 2022.

RAYUAN AKHIR DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Prosiding selama sembilan hari itu dijangka akan didengari panel lima hakim, namun sehingga artikel ini ditulis, media masih belum mendapat senarai hakim yang berkenaan.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

Perbicaraan tersebut dijangka akan terus mendapat liputan meluas dari media, baik di dalam dan luar negara. 

Prosiding esok dijangka dimulakan dengan pendengaran permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu membabitkan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Sekiranya permohonan itu gagal, prosiding akan diteruskan dengan rayuan akhir itu.