PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak memohon supaya prosiding rayuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan ditangguhkan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, prosiding perlu ditetapkan pada tarikh lain sehingga siasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.

Mohd Nazlan merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Najib atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC pada 28 Julai 2020 lalu.

Ketika hujahan di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai barisan lima panel hakim, Hisyam berkata, prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujudnya konflik kepentingan.

"Wujud bahaya yang nyata dan berat sebelah kerana konflik kepentingan berhubung peranan Mohd Nazlan dalam bank, dalam kes itu.

"Adalah wajar jika siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan terlebih dahulu sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan di mahkamah ini," katanya.

BACA: Mohd Nazlan mungkin berat sebelah, tidak dedahkan peranan Maybank - Hisyam Teh

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Bagi mendapatkan lebih kepastian, peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, mahkamah boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, keterangan tambahan itu mengandungi bukti material yang menunjukkan ada konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim terbabit.

Semasa prosiding pagi Isnin, Mahkamah Persekutuan membenarkan Najib meminda notis usul dalam permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuan akhir kes itu.

Tun Tengku Maimun membenarkan perkara itu sebelum peguam yang mewakili Najib, Hisyam Teh Poh Teik berhujah mengenai perkara berkenaan.

Dalam prosiding itu, Hisyam memohon panel hakim menerima masuk tujuh set dokumen penting iaitu pertama, minit-minit mesyuarat Maybank bertarikh 7 Mac 2012; minit Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Maybank tahun Kewangan 2012.

Dokumen itu termasuk surat pelaburan Maybank Investment kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), laporan berita Malaysia Today bertarikh 14 Mac 2022 dan minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 6 September 2010.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

Kedua beliau berkata, membabitkan salinan emel bertarikh 5 dan 10 Februari 2015, surat daripada Kaunsel Maybank kepada Ahli Lembaga Pengarah bertarikh 10 Februari 2015 termasuk Memorandum Maybank bertarikh 10 Februari 2015, minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 5 April 2010 dan salinan penyata akaun AmIslamic Bank.

Ketiga katanya, afidavit sokongan yang telah dipinda bertarikh 15 Julai 2022.

"Keempat hingga ketujuh ialah viva voce iaitu keterangan oleh pengawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein; Ketua Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin; pegawai bahagian AMLA SPRM, Asrul Ridzuan Ahmad Rustami dan penolong pegawai penyiasat SPRM, Noor Syazana Kamin," katanya.

Prosiding ditangguhkan sementara bagi rehat tengah hari dan disambung dengan hujahan balas oleh pihak responden.

Mereka diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram dan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Selain Hisyam, Najib selaku pemohon turut diwakili peguam, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, M Rueben dan Hannah Kam Zhen Yi. — Sinar Harian