Prosiding perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd bermula dengan pihak pendakwaan membantah permohonan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak supaya saksi pertama pendakwaan mengemukakan tiga dokumen tambahan kepada Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding 3 April lalu, peguam bekas perdana menteri itu, Harvinderjit Singh meminta saksi pertama Muhamad Akmaludin Abdullah membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan maklumat mengenai individu yang pernah memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat berkenaan.

Apabila prosiding bermula kira-kira pukul 9.10 pagi, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram berkata mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen tambahan itu boleh diterima untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi.

“Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa mahkamah perlu meneliti dokumen yang akan dikemukakan itu adalah boleh diterima di mahkamah ini dan sama ada terdapat keperluan untuk dokumen terbabit digunakan di mahkamah untuk menyoal balas saksi,” katanya di Bilik Mahkamah 5, di sini hari ini.

Sementara itu, Harvinderjit membalas hujahan dengan menyatakan bahawa ia mesti ditunjukkan terlebih dahulu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu.

Selepas meneliti kedua-dua dokumen itu, Sithambaram memberitahu mahkamah pihaknya tidak membantah terhadap dokumen terbabit.

Prosiding bersambung kira-kira jam 9.30 pagi dengan Harvinderjit menyoal balas saksi berdasarkan dokumen tambahan berkenaan.

Saksi pertama antaranya mengesahkan bahawa ketika penubuhan SRC International, dua individu menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Ketika penubuhan SRC International, saham RM1 juta, katanya, bukan dimiliki atau tiada kaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).