Pihak pendakwaan adhoc, Datuk V Sithambaram ketika proses mitigasi menegaskan bahawa tiada rakyat di negara ini termasuk pemimpin melepasi undang-undang.

Kata Sithambaran, dalam pendengaran mitigasi dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, tertuduh (Najib) pernah menduduki jawatan tertinggi di negara selama hampir satu dekad.

"Kepercayaan tertinggi diberikan kepadanya sebagai ketua pemerintah. Dia mempunyai tugas fidusiari dan sabitan ini menunjukkan bahawa hukuman itu seharusnya menjadi teladan bagi semua penjawat awam bahawa tidak ada yang melebihi atas undang-undang," katanya.

Sithambaram menambah hukuman setimpal perlu diberikan terutama dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

BACA: LAPOR LANGSUNG - NAJIB BERSALAH ATAS TUJUH TUDUHAN

"Mahkamah menjadi tempat dimana Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani masalah rasuah.



"Hukuman itu harus dijatuhkan melihat kepada kes terburuk. Tertuduh (Najib) tidak melakukan apa-apa untuk mengembalikan wang terbabit dan tertuduh mempunyai niat untuk tidak mengembalikan wang tersebut. Kes ini mengakibatkan imej negara tercemar dengan kleptokrasi," tambah Sithambaram.

BACA: KES SRC - 99.9 PERATUS DIGUNA UNTUK KEBAJIKAN, BUKAN DIBELANJA NAJIB - SHAFEE


Terdahulu, Najib didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didapati melakukan kesalahan itu antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.


Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didapati bersalah menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.