Polis akan mengkalisifikasikan semula siasatan ke atas kes serangan T. Nhaveen di bawah kes bunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pentafsiran semula kes itu yang menyebabkan kematian remaja berusia 18 tahun di Pulau Pinang.

"Kami akan mengklasifikasikan semula kes itu di bawah pembunuhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Terawih dan Moreh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan kes Nhaveen sebagai kes bunuh dan akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian remaja itu petang Khamis.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Nhaveen dipukul oleh sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town.

Remaja itu dipukul sehingga menyebabkan dia mengalami mati otak dan pemeriksaan hospital mendapati turut berlaku penderaan seksual.

Nhaveen disahkan meninggal dunia kira kira jam 5.30 petang tadi.

Difahamkan upacara penghormatan terakhir Nhaveen dijangka diadakan esok selepas urusan bedah siasat selesai.