Kes tebusan Telipok Ria: Siapa 'Rashid'?

Ruzaini Zulkepli
Januari 14, 2019 10:33 MYT
Saat ketika suspek meletak pisau di leher kanak-kanak perempuan yang dipercayai diculik.
Penjenayah yang menculik dan mencedera seorang kanak-kanak perempuan dua tahun di flat Telipok Ria, Tuaran di Sabah, Ahad lalu, ada menyebut nama "Rashid" sebelum dia ditembak mati oleh polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mamah mendedahkan, suspek lelaki berusia 30-an yang disyaki warga asing dan tidak fasih berbahasa Malaysia itu dikatakan menyebut nama berkenaan beberapa kali, namun pihak polis mendapati, tiada seorang pun di kawasan perumahan itu mengenali penama tersebut.
Omar berkata, "Rashid" mungkin merujuk kepada identiti suspek, namun siasatan polis masih giat dijalankan.
"Semasa dia (suspek) tahan budak ini, dia sebut nama iaitu 'Rashid'.
"Jadi kita periksa segala kemungkinan siapa penama ini, tetapi orang awam yang tinggal di tempat tersebut tidak tahu siapa Rashid.
"Suspek menggunakan dialek bahasa Suluk, mungkin dia faham sikit-sikit sahaja bahasa kita tetapi dia tidak fasih berbahasa Malaysia. Kita (polis) ada tanya siapa Rashid, tetapi dia sebut sahaja nama Rashid (ketika kejadian)," kata Omar dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
BACA: Polis gagalkan insiden kanak-kanak dijadikan tebusan di Tuaran
Dalam kejadian yang berlaku dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 5.30 petang Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan dua tahun yang dipercayai diculik, telah dikurung oleh seorang suspek lelaki berusia 30-an di sebuah flat di tingkat empat di Telipok Ria, Tuaran.
Selepas lima jam pihak polis melakukan rundingan, penjenayah tersebut akhirnya ditembak mati dan kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Omar berkata, suspek dipercayai seorang warga asing kerana tidak memiliki sebarang dokumen.
"Bagaimanapun, kita sudah ambil cap jari dan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan rekod, sekiranya ada rekod yang didaftarkan," katanya.
BACA: Kanak-kanak dijadikan tebusan di Tuaran dalam keadaan stabil
Mengulas mengenai keadaan mangsa yang cedera di leher dalam kejadian itu, Omar berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sudah mula bercakap dengan ibu bapanya.
Jelasnya, mangsa kini masih dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan dijaga rapi oleh pasukan perubatan.
#culik #Kanak-kanak #tebusan #telipok ria #tuaran sabah