PADANG BESAR:Polis mengesahkan enam penyeludup yang dipercayai terbabit dalam serangan terhadap Pasukan Gerakan Am (PGA) sehingga mengorbankan seorang anggota di sempadan Malaysia-Thailand sudah ditahan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata dua suspek warga Thailand berjaya ditahan pasukan VAT69 di kawasan sempadan di Padang Besar sebelah Malaysia.

Katanya, polis juga telah menerima maklumat pihak berkuasa Thailand berjaya menahan empat lagi penyeludup di sebelah sempadan negara jiran itu.

BACA: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

BACA: Anggota PGA maut, cedera berdepan 13 anggota kumpulan penyeludup ketum - Portal berita Thailand



"Dua lelaki telah ditangkap iaitu warga Thailand... seorang ditangkap anggota komando VAT69 di (tidak jauh dari) tempat kejadian, seorang lagi ditangkap anggota PGA Batalion 3... senjata tak jumpa," katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, pihak polis juga akan menjalankan siasatan dengan teliti dan yakin dapat menangkap kesemua 13 penyeludup yang dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Surina berkata pihaknya akan mengambil keterangan daripada semua suspek dengan kerjasama polis Thailand dalam masa terdekat.

"Kita akan jalankan siasatan yang amat amat teliti dalam kes ni... kita akan dapatkan maklumat dengan sedalam dan selengkap mungkin... kita nak pastikan kita dapat tangkap kesemua penyeludup yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian tembakan itu di Pos TS 9, Felda Mata Ayer, Padang Besar pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Surina berkata mayat mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban dalam serangan itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat.

Katanya, seorang lagi anggota, Koperal Norihan Tari yang berada dalam keadaan kritikal dan sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sudah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menerima rawatan lanjut.