KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 30 Jun untuk sebutan semula kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memaklumkan Hakim Nik Habri Muhamad bahawa hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen kepada pihak pembelaan dan beliau memohon tarikh lain untuk sebutan kes berkenaan.

Peguam Mohammad Shafiq Mohammad Lazim mewakili Hafizul Hawari, 38, yang hadir ke mahkamah hari ini berkata anak guamnya yang ditahan di Penjara Sungai Buloh mempunyai dua kes lain lagi.

"Kes di Mahkamah Syariah Gombak Timur akan disebut pada 4 Jun dan Mahkamah Sepang pula pada 11 Jun ini," katanya.

Pada 24 April lepas, Hafizul yang juga menghadapi dua pertuduhan lain iaitu cubaan membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu di Mahkamah Sesyen Sepang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama, yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta itu di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April lepas.

Pada 25 April lepas, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 1.09 pagi, 14 April lepas.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Media sebelum ini melaporkan polis telah menahan Hafizul pada 15 April lepas di Kota Bharu, Kelantan.

-- BERNAMA