KLANG: Lima lagi individu diberkas bagi membantu siasatan kes lelaki maut ditembak di hadapan sebuah kedai di di Jalan Hamzah Alang, Kapar di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, tangkapan dibuat di sekitar Klang bermula jam 11 malam, pada Jumaat.

"Kesemua suspek lelaki itu berusia lingkungan 30 hingga 40-an dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif jenayah terbabit.

"Kelima-lima suspek itu kini direman empat hari sehingga 5 September untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an diberkas polis pada Khamis.

Pada Rabu, seorang lelaki berusia 36 tahun yang memiliki 12 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah ditemui maut ditembak dalam kejadian di hadapan bangunan rumah kedai dua tingkat Jalan Hamzah Alang, Kapar di Klang.

Kejadian tersebut disedari orang awam di sekitar lokasi kejadian sebelum menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 10.35 malam.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit untuk salurkan di balai polis berhampiran. - Sinar Harian