MALAYSIA
Kes tembakan PGA: Sarjan Norihan jalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang
Mangsa dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru di bahagian perut dan berdekatan tulang belakang. - Astro AWANI
GEORGE TOWN:Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari yang parah dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata ambulans yang membawa Norihan tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 9.20 malam Rabu untuk rawatan lanjut.
Mangsa dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru di bahagian perut dan berdekatan tulang belakang.
Norihan dibawa dari HTF pada jam 7.40 malam dengan menggunakan ambulans yang diiringi kereta peronda polis.
Dua ahli keluarga mangsa turut hadir di hospital berkenaan.
Pada Selasa, seorang anggota PGA yang bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, maut dipercayai akibat ditembak.
Ketika kejadian jam 3.10 pagi, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54 tahun, sedang bertugas bersama Norihan, 39 tahun.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke HTF Kangar.
#Hospital Pulau Pinang
#tembakan PGA
#Pasukan Gerakan Am
#Soffian Santong
#Pembedahan
#Sarjan Norihan Tari
#parah
#Hospital Tunku Fauziah
#Kangar
#peluru
#pindah
#Hospital
#Pos Sempadan Malaysia-Thailand
#padang besar
#pulau pinang