Kes tetak abang ipar: 'Adik cakap dengar suara ejek-ejek dia' – Isteri mangsa

Suspek berjaya ditahan di rumahnya selepas dipujuk anggota polis. Gambar kecil: Marliana
ALOR SETAR: “Adik cerita pada polis, katanya dia nak keluar mandi, lepas itu dia nampak macam suami saya panggil dia. Dia kata ada suara ejek-ejek dia, macam orang perli.”
Ringkasan AI
- Marliana Awang mendedahkan bahawa suspek, adik kandungnya, dipercayai mengalami gangguan mental termasuk halusinasi dan kemurungan sejak PKP, serta enggan mengambil ubat rawatan.
- Suspek pernah menunjukkan tingkah laku menyendiri dan bercakap seorang diri, serta pernah mengamuk namun tidak mengganggu orang kampung secara langsung.
- Dalam kejadian tragis itu, Nasir Md Nanyan maut ditetak dan polis berjaya menahan suspek di rumahnya selepas dipujuk, dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kalau orang kampung datang ke rumah, dia lari masuk bilik. Dia tak duduk luar. Dia bercakap seorang diri. Orang kampung pun tak kenal dia sangat," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, pada Sabtu.
Tambah Marliana, suspek juga pernah mengamuk sebelum ini, namun tidak mengganggu orang kampung secara langsung.
Menurutnya, suspek lebih banyak menyendiri dan hanya berinteraksi dengan ahli keluarga terdekat.
Jelas Marliana, suspek pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi hadir ke sesi rawatan dan enggan mengambil ubat.
“Mak yang pergi ambil ubat, tapi dia tak makan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19, dia mula berubah. Sebelum tu, dia baik-baik saja,” katanya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan di kawasan sawah berhampiran rumahnya, dipercayai akibat ditetak oleh suspek dalam satu pergaduhan.
Polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam dan berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek telah direman enam hari bagi membantu siasatan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


