Kes tetak abang ipar: 'Saya jerit minta tolong, pangku jenazah suami' - Isteri mangsa

Marliana (kanan), isteri kepada Allahyarham Nasir Md Nanyan (kiri) berkongsi detik pilu ketika menemui jasad suami dan cuba memberi bantuan sebelum azan Maghrib. -Foto Sinar Harian
JERLUN: “Saya jerit minta tolong dan terus pangku jenazah suami sambil urut dadanya. Tak terbayang perasaan saya waktu itu."
Ringkasan AI
- Marliana Awang, isteri kepada Nasir Md Nanyan yang maut ditetak di Kampung Pida 3, berkongsi detik pilu ketika menemui jasad suami dan cuba memberi bantuan sebelum azan Maghrib.
- Mangsa keluar mencari kambing peliharaan sebelum ditemui maut dengan kepala terputus, dipercayai ditetak oleh adik iparnya sendiri dalam satu pergaduhan.
- Marliana menggambarkan arwah sebagai suami penyayang dan rajin, manakala suspek telah direman enam hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Arwah terus keluar cari kambing, tapi tak balik-balik. Saya mula risau. Tak lama lepas tu, orang kampung datang beritahu ada pergaduhan dekat sawah belakang rumah emak.
"Masa itu hati saya dah tak sedap,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Sabtu.
Marliana berkata, dia segera bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal. Sebaik tiba, dia terus meluru ke arah jasad suaminya yang sudah terbaring dalam lumpur sawah.
“Waktu tu lagi 10 minit nak azan Maghrib. Saya urut dada arwah, buang selut di badannya dan berdoa agar Allah permudahkan urusannya. Saya tak sangka arwah pergi dalam keadaan macam ni,” katanya sebak.
Dalam kejadian tragis tersebut, Nasir ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan selepas dipercayai ditetak oleh adik iparnya sendiri dalam satu pergaduhan di kawasan sawah berhampiran rumah mereka.
Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki berusia tujuh dan 12 tahun.
Tambah Marliana, arwah suaminya seorang yang penyayang, rajin bekerja dan sangat rapat dengan anak-anak.
“Pokok-pokok di halaman rumah semua dia yang tanam. Dia bela kambing, ambil upah tabur padi, dan setiap hari dia yang hantar serta ambil anak-anak dari sekolah,” katanya.
Jenazah Nasir kini masih berada di Jabatan Forensik HSB dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Pida 3.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam pada Jumaat memaklumkan kejadian berkenaan.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek telah direman selama enam hari sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


