SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini pada Khamis diberitahu bahawa remaja lelaki berusia 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, mengalami masalah kesihatan mental sejak lima tahun lalu.
Peguam bela, Kitson Foong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua dalam prosiding berkenaan.
Menurut beliau, prosiding yang dijalankan secara tertutup itu turut mendedahkan bahawa tertuduh juvana berkenaan mula menunjukkan simptom psikiatri sejak berusia 10 tahun, namun tidak menerima rawatan awal di hospital.
“Tempoh lima tahun tanpa rawatan menyebabkan keadaan itu berkembang dengan ketara, sekali gus memberi kesan lebih besar terhadap minda tertuduh,” katanya.
Beliau berkata keadaan tersebut boleh diibaratkan seperti penyakit kanser yang hanya dikesan pada tahap lewat, berbanding jika dirawat pada peringkat awal.
Kitson berkata, kegagalan mendapatkan rawatan dalam tempoh berkenaan dipercayai menyebabkan manifestasi penyakit mental itu menjadi lebih serius dan kompleks.
“Keadaan ini juga boleh menjadi semakin rumit apabila berlaku secara berterusan dalam minda kanak-kanak yang masih belum matang sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya lagi, saksi pembelaan itu turut menjelaskan bahawa gangguan tertentu boleh menjadi lebih ketara apabila berkembang dalam minda kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau berkata pembelaan memanggil saksi berkenaan bagi menyokong hujahan bahawa tertuduh mengalami ketidakwarasan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Kitson berkata, Dr Ian juga bersetuju bahawa tertuduh sebelum ini telah dirujuk untuk penilaian dan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta ketika peringkat Mahkamah Majistret.
“Mahkamah mungkin akan menetapkan tarikh baharu untuk keputusan di akhir kes pembelaan,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya dimaklumkan bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 14 tahun, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025 di sebuah tandas perempuan sekolah menengah di Bandar Utama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.
Sementara itu, pasukan pembelaan diwakili peguam Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.
Peguam pemerhati pula ialah Datuk Yasmeen Shariff dan Jason Lim Jie Sheng mewakili Majlis Peguam serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Prosiding di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid bersambung pada jam 2.30 petang Khamis.