KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan perbicaraan kes mengemukakan tuntutan palsu RM1.18 juta dan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) sebanyak RM1.06 juta membabitkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, bermula Julai tahun depan.

Prosiding dijadualkan selama sembilan hari pada 18 dan 19 Julai manakala Ogos pada 1, 2 serta 19 hingga 23.

Seramai 20 saksi pendakwaan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes berkenaan.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian ketika prosiding sebutan semula kes bagi keputusan representasi untuk mengkaji semula semua tuduhan itu.

Menyentuh isu representasi, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berkata, dalam prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan Jumaat untuk keputusan representasi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan pembelaan baru sahaja menghantar dokumen itu menerusi e-mel, pada Khamis.

“Jadi, kami memerlukan masa untuk meneliti representasi terbabit sebelum ditaklimatkan kepada Peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, peguam, Burhanudeen Abdul Waheed yang mewakili bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong mengesahkan perkara tersebut.

“Dokumen berkenaan baru sahaja dihantar kerana kami memerlukan masa untuk meneliti bukti dan fakta,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes untuk keputusan representasi itu pada 12 Januari tahun depan.

Pada 10 April, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut di London, mencecah lebih RM1.18 juta.

Dokumen tersebut didakwa digunakan bagi tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut yang diberikan kepada Menteri Besar Perlis, sedangkan tiada perjalanan yang dilakukan tertuduh.

Jumlah tuntutan dalam tempoh lima tahun mulai 2013 itu ialah RM230,230; RM216,260; RM241,295.40; RM253,195.40 dan RM244,079.30 bagi setiap perjalanan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini antara 2013 hingga 2017.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu jika berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Dua hari kemudian, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima lagi pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga cek Maybank dan satu cek CIMB yang dibayar ke dua bank miliknya, serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, di sini pada 19 Februari 2014 hingga Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian