Kes ugut ADUN: Dua lelaki bebas dengan jaminan polis

Adie Sufian Zulkefli
Mei 17, 2020 04:46 MYT
Kedua-dua suspek (pakaian lokap ungu) dibebaskan hari ini selepas polis selesai merekod keterangan mereka. - Astro AWANI
Dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, lelaki berusia 23 dan 39 tahun itu dibebaskan hari ini selepas pihaknya selesai merekod keterangan mereka.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan ketika serbuan dilakukan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Selangor dan Perak pada Jumaat.
Tangkapan pertama dilakukan sekitar Telok Bunut, Banting, kira-kira jam 6 petang manakala suspek kedua ditahan di Taman Sentosa, Langkap, pada jam 6.30 petang.
Kedua-dua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
BACA: Lelaki ditahan kerana ugut wakil rakyat
BACA: Dua ADUN Kedah dari PKR keluar parti, sokong kerajaan PN
Jelas Adzli, hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Mereka direman selama dua hari bermula semalam kerana disyaki melakukan ugutan, dipercayai akibat rasa tidak puas hati terhadap tindakan Dr Robert yang meninggalkan PKR.
13 Mei lalu, Dr Robert membuat laporan polis berhubung beberapa ugutan yang diterima termasuk terhadap keluarga serta perniagaannya oleh beberapa individu melalui Facebook dan kiriman mesej.
#ADUN #ADUN Sidam #Adzli Abu Shah #Facebook #jenayah #Kedah #keluar parti #PKR #polis #reman #siasatan #Sungai Petani #suspek #ugut