Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: AMK Hang Tuah Jaya lancar jelajah 'Buli adalah jenayah'

Firdaus Azil 18/08/2025 | 13:30 MYT
Muhammad Hafiz, berkata isu buli tidak lagi boleh dipandang sebagai salah laku kecil, sebaliknya sudah menjelma menjadi ancaman sosial yang meragut masa depan generasi muda. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kes kematian Zara Qairina Mahathir yang akan dibicarakan melalui prosiding inkues bermula 3 September ini, menjadi pencetus kepada Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Hang Tuah Jaya untuk melancarkan kempen jelajah 'Buli adalah jenayah di seluruh kawasan.

Timbalan Ketua AMK Hang Tuah Jaya, Muhammad Hafiz Rayyan, berkata isu buli tidak lagi boleh dipandang sebagai salah laku kecil, sebaliknya sudah menjelma menjadi ancaman sosial yang meragut masa depan generasi muda.

“Polis telah mengesahkan kes ini bukan lagi sekadar ‘kematian mengejut’, malah ada elemen jenayah yang sedang disiasat. Antara fokus siasatan ialah unsur buli, memandangkan arwah sendiri pernah mengadu menjadi sasaran rakan sebaya.

“Luka hati seorang ibu sebenarnya luka kita semua. Kes Zara mesti menjadi noktah kepada budaya buli di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Muhammad Hafiz turut menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan segelintir pihak yang sanggup menyebarkan cerita palsu demi tontonan media sosial.

“Bayangkan, kesedihan seorang ibu dijadikan bahan konten. Runtuhnya nilai empati dalam masyarakat kita,” katanya.

Menurut Muhammad Hafiz, AMK Hang Tuah Jaya mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Bachang Darat sebagai lokasi pertama jelajah kesedaran tersebut sebelum diperluas ke seluruh kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Parti hanyalah wadah. Apa yang lebih penting ialah kebersamaan kita sebagai mata dan telinga untuk saling menjaga. Anak muda mesti dilindungi daripada gejala buli yang boleh menghancurkan pelajaran, bakat dan harapan ibu bapa,” katanya.

Tambah beliau, AMK Hang Tuah Jaya komited untuk menjadikan kempen 'Buli adalah jenayah' sebagai agenda berterusan bersama masyarakat setempat, agar tragedi menimpa Zara Qairina tidak berulang lagi.

#inkues #Parlimen #buli #media sosial