MALAYSIA
Kes Zara Qairina: Barisan peguam harap pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2)

Barisan peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap pertuduhan kes itu dilakukan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Barisan peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap pertuduhan kes itu dilakukan di bawah Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan.
Peguam Hamid Ismail berkata kepada Astro AWANI, pihaknya mengharapkan sedemikian kerana hukuman di bawah seksyen itu lebih berat iaitu menetapkan 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.
"Saya menyambut baik pendakwaan ini, saya dimaklumkan petang tadi ia mengatakan ada orang akan didakwa.
"Pada awalnya, saya tidak tahu (pertuduhan) di bawah seksyen apa. Tetapi sebentar tadi, saya baru dimaklumkan mereka akan didakwa di bawah 507C(2) yang mana hukumannya maksimum hanya setahun," katanya.Barisan peguam kes Zara Qairina adalah Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Hamid menambah, pihaknya tidak mengetahui identiti individu-individu yang akan didakwa berhubung kes buli pelajar tersebut namun menyebut kesemua mereka ialah perempuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terbabit dalam kes buli Zara Qairina pada Isnin.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada keterangan yang ada hasil penelitian kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia berhubung kes kematian Zara Qairina.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami