MALAYSIA
Kes Zara Qairina: Nik Nazmi harap Menteri Pendidikan tidak perlu defensif

Nik Nazmi berkata, ibu bapa berhak mengetahui dan mendapat jamin keselamatan anak-anak yang berada di sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya tidak menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi terhadap kes buli termasuk dalam tragedi melibatkan Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa KPM agar tidak menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi, sebaliknya memberi jaminan keselamatan anak-anak di sekolah dan menunjukkan komitmen serius dalam siasatan kes Zara.
- Beliau menyambut baik komitmen Perdana Menteri untuk memastikan siasatan telus dilakukan dan menekankan bahawa isu keselamatan pelajar perlu diberi keutamaan dalam sistem pendidikan negara.
- Isu buli perlu ditangani secara menyeluruh dan tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, sebaliknya menjamin persekitaran selamat bagi murid di sekolah.
“Saya harap Menteri Pendidikan juga tidak perlu defensif dalam perkara ini kerana ini adalah soalan asas..soal keselamatan anak-anak di sekolah.
"Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa yang buat spekulasi atau apa sahaja.
“Paling penting kita tunjukkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan yang serius dalam soal ini dan tidak memperkecilkan kebimbangan yang disuarakan masyarakat di luar sana,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Kisah Zara Qairina mendapat liputan meluas, sama ada daripada media arus perdana mahupun warga maya, khususnya apabila jenazahnya dikeluarkan semula 23 hari selepas dikebumikan menerusi proses gali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama di Sipitang, Sabah.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, isu buli perlu ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan sistem pendidikan negara bergerak pada landasan yang betul.
Katanya, aspek ke menjadikan murid atau pencapaian dalam pendidikan tidak boleh dijadikan sebagai fokus utama semata-mata jika soal keselamatan pelajar tidak diberi perhatian.
“Isu buli telah mendapat perhatian meluas dan sekiranya kita perlu ada satu anjakan dalam sistem pendidikan, maka kita perlu lakukan bagi menjamin keselamatan anak-anak,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami