MALAYSIA
Kematian Zara Qairina: Peguam dedah tiada bedah siasat, keluarga mohon gali semula kubur

Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
KOTA KINABALU: Tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selepas remaja itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Ringkasan AI
- Tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara selepas kematiannya pada 17 Julai, mendorong ibu mangsa memohon agar kubur digali semula dan inkues dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.
- Peguam keluarga telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues segera, selain menafikan dakwaan kematian Zara berpunca daripada ibunya dan menggesa netizen agar tidak menyebarkan fitnah.
- Gelombang tanda pagar #JusticeForZara terus tular di media sosial, dengan pihak polis memanggil 60 individu termasuk tiga pelajar senior yang dikaitkan dalam kes, manakala orang awam diminta tampil membantu siasatan.
“Bedah siasat akan membantu pihak polis menentukan punca sebenar kematian Zara,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, katanya, satu laporan polis tambahan telah dibuat pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang, termasuk permohonan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan satu inkues dijalankan.
“Selaras dengan kehendak anak guam kami, pada 31 Julai 2025, kami telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu untuk memohon agar mereka melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengarahkan majistret mengadakan satu inkues dengan kadar segera bagi menentukan punca kematian si mati,” katanya.
Sehubungan itu, pihak peguam berharap Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan permohonan tersebut bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, peguam terbabit menafikan dakwaan bahawa kematian Zara Qairina adalah disebabkan ibunya.
"Ini adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada 'plot twist' dalam kes ini.
"Kami menasihatkan netizen agar tidak membuat sebarang fitnah terhadap mana-mana individu berkaitan dengan kematian Zara," katanya.
Pasukan peguam itu sebaliknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan, sila salurkan kepada pihak polis atau kepada kami," katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah menularkan kes tersebut demi keadilan mangsa.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Susulan kematiannya, tular gelombang tanda pagar #JusticeForZara di media sosial yang menuntut agar siasatan dilakukan dengan lebih telus dan menyeluruh.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan setakat ini seramai 60 individu telah dipanggil memberi keterangan, termasuk tiga pelajar senior dikenali sebagai 'Kak Wana', 'Kak Dedeng' dan 'Tomboi' yang turut dikaitkan dalam kes tersebut. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami