Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Polis, MCMC tunggu maklumat TikTok - Fahmi

Faida Rahim 17/08/2025 | 06:57 MYT
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui media pada majlis Pelancaran Program Kesenian dan Kebudayaan @Lembah Pantai di PPR Kerinchi hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu maklumat daripada TikTok dalam siasatan dakwaan seorang individu hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 10 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • PDRM dan MCMC sedang menyiasat dakwaan seorang individu hadir semasa bedah siasat jenazah Zara Qairina, yang ternyata bukan doktor pakar atau petugas KKM seperti didakwa dalam siaran TikTok.
  • Akaun TikTok @berjuanguntukzara disiasat kerana menyebarkan maklumat palsu, termasuk dakwaan konspirasi dan unsur buli, di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
  • Kematian Zara Qairina mencetuskan desakan nasional untuk siasatan telus dan reformasi anti-buli, dengan ribuan rakyat menyertai himpunan solidariti dan solat hajat di seluruh negara.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini siasatan masih berjalan oleh pihak polis dan MCMC.

"Kami sedang tunggu daripada pihak TikTok untuk bantu siasatan.

"Saya serahkan kepada pihak PDRM dan MCMC untuk mendapatkan maklumat itu dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang," katanya.

Baru-baru ini tular perkongsian seorang individu yang menceritakan penglibatan dalam proses bedah siasat jenazah Zara Qairina.

Semalam, Fahmi memaklumkan, individu berkenaan mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar itu namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.

Pada hari yang sama juga, polis menyiasat akaun TikTok @berjuanguntukzara kerana memuat naik kandungan tidak tepat berkenaan kes kematian Allahyarham Zara Qairina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial apabila ia didakwa dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah tersebut.



#Kes Zara Qairina #PDRM #MCMC #Fahmi Fadzil #terkini #buli #TikTok