MALAYSIA
Kes Zara Qairina: Saya panggil nama, pegang pipi, tiada respons - Pengawal keselamatan

Anggota polis berkawal di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi kes prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan yang bertugas pada malam insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau cuba menyedarkan remaja itu dengan memanggil nama sambil memegang pipinya, namun mangsa tidak memberi sebarang respons.
Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang menceritakan keadaan pelajar Tingkatan Satu itu ketika kejadian, berkata mangsa menarik dan menghembus nafas dengan kuat seolah-olah sedang "berdengkur".
Ibu kepada empat anak itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari ketujuh prosiding inkues berhubung kematian remaja berkenaan.
Shahlan: Apabila puan panggil Zara, adakah dia memberi sebarang respons?"Dia macam tidur berdengkur.. dia dalam keadaan terlentang, kasihan dia," cerita Linah dengan nada sedih di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Linah turut memberitahu bahawa mangsa yang dijumpai dalam keadaan terlentang di longkang tidak memakai kasut atau tudung.
Saksi keenam itu berkata, pelajar berkenaan kemudiannya dialihkan dari lokasi kejadian ke bahagian hadapan asrama, iaitu di hadapan rumah warden, sementara menunggu ketibaan ambulans.
“Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap bersama tiga pelajar senior mengalihkan Zara Qairina.
“Saya masih berada di situ, dan beberapa guru wanita juga ada bersama. Kami menunggu hampir sejam kerana ambulans lambat sampai,” katanya.
Linah berkata, ketika Zara Qairina dialihkan ke dalam ambulans, terdapat banyak titisan darah keluar dari kaki kiri mangsa selain tulang kakinya yang terkeluar.
Prosiding bersambung semula.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami