Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kes Zara Qairina: Siasatan telus, tiada siapa dilindungi - PM Anwar

Bernama 09/08/2025 | 06:37 MYT
Anwar berkata kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir di Sabah perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim arah siasatan telus terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, tanpa melindungi mana-mana pihak termasuk individu berprofil tinggi.
  • Polis telah mengambil keterangan lebih 60 individu, dan akan menggali semula kubur Zara untuk melengkapkan siasatan bedah siasat seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara.
  • Anwar tegaskan kes ini tidak boleh dipolitikkan, dan menyeru agar rakyat tidak membuat spekulasi atau menyebarkan fitnah, sebaliknya memberi ruang kepada proses undang-undang yang adil dan menyeluruh.


Beliau berkata kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli.

"Anak kita di Sabah meninggal dunia ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli. Kita tidak pandang ringan dan kita tidak mahu ia dijadikan bahan politik.

"Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira anak siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli," katanya pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri telah menghubungi Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dilaksanakan seadilnya.

"Saya tanya, apakah ada kesilapan (siasatan Zara Qairina) ? Kalau ada, ambil tindakan. Ini satu kematian, tidak kiralah anak orang miskin atau anak kaya, di gunung, di darat atau di laut, kita ambil tahu kerana siasatan mesti dijalankan secara telus. Saya sedih kerana ini mungkin anak atau cucu saya.

"Oleh kerana terdapat syak wasangka, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kubur digali semula untuk bedah siasat kedua.

Beliau berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar juga telah diarahkan turun ke Sabah bagi memantau sendiri siasatan agar tidak timbul persepsi pihak tertentu dilindungi.

"Ini kerajaan MADANI, kita tidak akan melindungi pembunuh," katanya.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Zara Qairina secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar itu susulan arahan AGC semalam.

Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

-- BERNAMA





#Zara Qairina Mahathir #Anwar Ibrahim #buli #kematian pelajar tingkatan satu #Sabah #terkini